March 2015 - HASLIZA SAYANG HASLIZA SAYANG: March 2015
Puisi: Demi Berkat Berjasa

Puisi: Demi Berkat Berjasa

Sempena Majlis Sayembara Apresiasi Disember 2014  JKMN Kelantan ..

Tiada siapa yang suka ujian Tuhan
Tidakku suka bencana melanda
Namun apa daya sudah suratan
Harus diterima dengan hati redha

Musibah ini harus direnungi
Penuh rasa hamba dalam sanubari
Mencari cinta kasih Illahi
Agar kita menjadi insan sejati

Kita JKM warga pelaksana
Terpikul amanah dibahumu
Tekadkan dalam hatimu
Demi berkat berjasa

**
Demi BERKAT BERJASA tinggalkan anak isteri,
Demi BERKAT BERJASA tinggalkan kekasih hati,
Demi BERKAT BERJASA tinggalkan tugas hakiki,
Demi BERKAT BERJASA mangsa kau dilindungi.

**

Susah senang tetap dirasa,
Ada suka ada duka,
Lumrah alam adat biasa,
Bukan semua hati dapat dijaga.

Maaf bermaafan sesama kita,
Lapang dada hati pun suka,
Pakar motivasi kata,
Ambil yang jernih macam kaca.


Wahai insan yang diuji
Marilah kita kembali
Kepada Pencipta Abadi
Agar hidup kita diberkati

Bersatu padu bercerai roboh
Jurang kita harus diroboh
Muafakat membawa berkat
Kata hikmah harus diingat

**

Demi BERKAT BERJASA kecil hati dilupakan,
Demi BERKAT BERJASA negatif hanya ditelan,
Demi BERKAT BERJASA kata nista diabaikan,
Demi BERKAT BERJASA utama redha Tuhan.

*serikandi tercipta*
puisi: Lilin Putih

puisi: Lilin Putih

Lilin putih itu
Membakar diri
Kerna seseorang yang membakarnya

Setia membakar diri
Lalu angin yang datang
Terpadamlah ia

Cairan lilin menitis
Panas dihujung jari
Tapi cepat sejuk
Lalu membeku

Cahayanya suram
Tidak sehebat cahaya neon
Cukup jadi pedoman suluhan
Agar tidak teraba-raba mencari arah

Dia diperlukan seketika
Bukan setiap masa

Sekecil api lilin itu
Masih menjadi kawan
Dia jatuh
Apinya mampu membaham
apa sahaja disekelilingnya
Akhirnya api lilin itu tidak terlawan
Apinya meranapkan apa sahaja hartamu

Lilin putih itu
Perlu ditatang sayang

Lilin putih itu
Murah harga
Tapi bisa bernilai
Pabila menjadi rebutan
Akibat pupusnya lilin

*serikandi tercipta*
PUISI:Sekeping Hati Yang Cekal

PUISI:Sekeping Hati Yang Cekal

Dedikasi untuk petugas dan penyelia PDK terutama PDK Selising, PDK Gaal-Jeram, PDK Semerak dan PDK Limbongan..


Dengan sekeping hati yang cekal
Kau ikhlas dalam kerjamu
Dengan sekeping hati yang cekal
Kau sabar dengan insan istimewa

Dengan sekeping hati yang cekal
Kau redha imbuhan tidak setimpal
Dengan sekeping hati yang cekal
Impianmu murni untuk anak syurga

Sijil berframe bukan ukuran
Untuk kau tabur bakti
Kau 'guru' tidak diiktiraf
Tapi itu kerjaya murni

Anak didikmu tidak sempurna
Air liurnya menjijikkan
Muntahnya memualkan
Najisnya tidak sanggup dilihat

Amukan dia menakutkan
Dia terlantar dibaringan
Jalannya tidak sempurna
Akalnya tiada kewarasan

Tapi itu bukan nanah bagimu
Kerana dijiwamu tersemat
Sekeping hati yang cekal
Untuk insan istimewa

Disaat manusia tidak pandang
Disaat manusia berpura-pura
Dengan nama insan istimewa
Kau insan terpilih untuk mereka

Dengan sekeping hati yang cekal
Setitis ilmu yang dibekalkan
Kau ajar dengan kasih sayang
Insan yang tiada kurniaan akal

Dengan sekeping hati yang cekal
Kau jadikan insan istimewa itu
Tiada yang mustahil untuk mereka
Memberi khidmat untuk bangsa

Dengan sekeping hati yang cekal
Kaulah yang dipanggil 'cikgu' PDK


*serikandi tercipta*






PUISI: DIA HANYA BUDAK

PUISI: DIA HANYA BUDAK



Hancur luluh
Remuk redam
Sendu pilu
Mencengkam jiwa

Menahan air jernih
Jernih berkaca
Bertakung di kelopak mata
Menanti gugur
Bersama keluhan
Nafas sesak di dada

Hayunan jari jemari
Tatapan demi tatapan
Mata terpaku
Pada skrin gajet itu
Laman sosial pantas berbicara

Dia hanya insan tanpa dosa
Sejernih permata
Sewangi kasih tanpa noda
Tanpa dia sunyi dunia dewasa
Dia amanah
Dia ahli syurga

Dunia dia
Hanya kasih sayang
Tidak mengerti
Dunia fatamorgana

Kau bukan manusia
Kau juga bukan binatang
Kerana  tiada kasih
Dalam hatimu
Tiada naluri cinta
Tiada belas ihsan

Kau syaitan topeng manusia
Hatimu disaluti titik hitam
Tiada iman bertatah nama Tuhan

Tubuh kerdil itu
Jiwa kecil itu
Tak tertanggung
Luka-luka yang berbirat
Darah merah suci mengalir
Biru lebam tak terbilang


Tiada tangisan
Kerana air jernih sudah kering
Hatinya sudah hilang
Rasa percaya pada duniamu

Dia hanya budak
Terkandung sebutir permata
Pewaris  dunia dan akhirat

Dia hanya budak
Anugerah Tuhan
Tiada dosa
Tapi kau amat jahat
Telah mendera dia..


Ahli akademik, para doktor
Barisan menteri
golongan cerdik pandai
ahli cendekiawan
pengamal undang-undang
pentadbir sosial
bersatu hati
memerah keringat dan buah fikiran
Demi banteras
Penganiayaan dan penderaan

Talian Nur 15999
Masyarakat mampu dail
Maklum
Sebelum parah


*serikandi tercipta*
HASLIZA SAYANG © . Designed by MaisarahSidi.com