February 2023 - HASLIZA SAYANG HASLIZA SAYANG: February 2023
HILANG MOOD WANITA KERANA AWNING TUDUNG

HILANG MOOD WANITA KERANA AWNING TUDUNG

 Hari ini hari hilang mood dan geram. 

Berhari² duk scroll cari tudung yang mudah pakai dan labuh. Bila tengok video cara pakai nampak simple mudah senang dan cantik. Terus klik order, banyak pula tu. 


Hari ini semangat pakai. Tapiiiiii dari pagi sampai bawa ke petang asyik duk betulkan awning tudung. 


 Sekejap² betulkan awning dan kat pipi. Dah macam iklan 'ummm pomolliveee'. (Iklan zaman 90an). 


Biasanya che kak pakai kain tudung memang jarang tengok cermin. Sebab mata hati dah nampak cantik elok😝.


Tapi hari ini semua cermin termasuk pintu opis pun jadi cermin. Pagi²  pukul 7.30 pun pak gad dah terpaksa kena dengar omelan che kak. 


Patut la orang kata boleh hilang mood seorang wanita kalau awning 'rosak'. Awning rumah rosak pun che kak tak heran pun.






Dalam takde mood pun siap juga kajisemula dan laporan bulanan. Haha. Tapi tu lah sekejap sekejap tengok cermin. Sekejap sekejap selfie. Sekejap sekejap hantar gambar dalam grup. Sebab nak tengok comel tak che kak. Hmmm memang comel dengan pipi yang tembam. Lupa model video itu pipinya pauh di layang😭.

SELOKA BONCENG MOTOR BESAR

SELOKA BONCENG MOTOR BESAR

 Jalan tengah jem berpeluh ketiak,

Terkejut beruk che kak, 

nasib baik tak tertekan minyak,

Kalau nasib malang mahu duit 'terkoyak',


Ada motor besar selit depan dan tepi,

Tempat duduk belakang punyalah tinggi,

Membongkok tiga macam nenek misteri,

Mau patah pinggang bila sampai nanti.


Gambar hiasan sahaja










Seluar jean ketat baju singkat,

Nampak bentuk badan yang melekat,

Terkejut che kak mata terlekat,

Bila tertengok istighfarlah cepat-cepat.


Kesian kat pemandu jalan raya,

Mudah terkejut terkena sakit dada,

Gendong muto pun macam tak selesa,

Free show alahai sakitnya mata.



SELOKA REMPAH RATUS

SELOKA REMPAH RATUS

 Rempah ratus dalam masakan,

Penyedap rasa dan bauan,

Kalau tak masak jadi hiasan,

Maklumlah che kak bukan chef Wan.




SELOKA ESKOT BABY

SELOKA ESKOT BABY

 Naik xtrail ke Husm,

Niat bantu Pelindung JKM.


Jalan sana jalan sini,

Rasa nak tercabut urat kaki.


Tersesat jalan kena bertanya,

Jalan pakai mask rasa lelah nak bernyawa.


Nasib staf baik belaka,

Dengan manis tutur kata.


Ambil sabun cuci tangan,

Gelang tangan kena simpan.


Mungkin elak terkena luka,

Atau kuman bermaharajalela.


Bawa baby comel sekali,

Tak meragam senang hati.




Dah lama tak pegang baby,

Lenguh bahu sakit sendi.


Bawa baby ke mahkamah,

Sebab nak kena ambil perintah.


Jangan tanya kisah baby,

Kerahsiaan klien perlu dihormati.


Selesai urusan perintah sementara,

Seksyen berapa pun che kak dah lupa.


Terus eskot baby ke RKK mini,

Duduk dengan mama yang baik hati.










Nanti Pelindung buat siasatan terperinci,

Dengan kuasa yang ada demi kesejahteraan baby.


Sekian cerita hari ini,

Buat tatapan suatu hari nanti.

MESIN PENAPIS AIR

MESIN PENAPIS AIR

 Dik, kalau che kak nak pakai mesin penapis air yang bayar bulan-bulan dah lama che kak akan beli. Che kak bagi peluang dan dengar dulu penerangan adik pun dah cukup baik.


Kenapa che kak tak terbuka pintu hati nak beli dengan adik? Pertama, adik tipu che kak kata datang nak servis je dan tak de cas. Rupanya nak menjual. Awal-awal lagi dah rasa tertipu. 


Kedua, awal-awal lagi adik buruk-burukan cxxxx kena ikat 5 tahun. Suka hati cxxxx la dia nak ikat berapa tahun. 


Sepatutnya adik kena fokus beri penerangan tentang kebaikan dan kelebihan produk dan perkhidmatan adik tanpa membuat perbandingan mana-mana produk.


Ketiga, cepat nau adik macam merajuk dan terus keluar rumah apabila che kak menolak untuk membeli. 


Sepatutnya adik kena sabar dan terus memujuk dan bermanis muka. Mungkin sehari dua lagi che kak akan terbuka pintu hati cari adik balik. Nampak gayanya memang tak cari dah kot.


Keempat, jangan memaksa  bayar segera sebagai cengkeram. Pelanggan bukannya semua ada duit on the spot walaupun berminat.


Kelima, kena hormat pendirian che kak atau sesiapa sahaja yang tak mahu terikat dengan komitmen bulanan. 


Keenam, jangan kutuk mesin penapis air yang ada kat rumah pelanggan. Paling tak blah kata punca kena penyakit buah pinggang. Hello.... Banyak sebab tau kena sakit buah pinggang. 


Ketujuh, sebagai pengguna AKSB, kenapa kami yang kena keluarkan wang yang banyak sehingga beribu riban semata-mata untuk dapatkan air yang bersih dan jernih?

SELOKA JUAL BUKU LAMA

SELOKA JUAL BUKU LAMA

 Kemas buku lama di hujung minggu,

Letak dalam plastik hitam dulu,

Nak buang atau bakar jadi debu,

Baik jual dapat sen sen okey juga tu.


Dua puluh lapan kg berat juga tu,

Darab dua posen ooo baru ku tahu,

Niat asal selamatkan alam sekitar dulu,

Simpan dalam stor pun jadi sarang tikus juga tu.



SELOKA DIGANGGU HARI CUTI

SELOKA DIGANGGU HARI CUTI

 Pekerja opis juga punya hati,

Ingin tidur pada hari cuti,

Nak lipat kain macam gunung tinggi,

Waktu cuti untuk famili sendiri.


Waktu pagi yang indah ini,

Dapat wasap sungguh adab tak reti,

Salah orang duk marah- marah quiri,

Hellooo apehal duk serang telefon peribadi.


Tak cakap banyak terus block baru puas hati,

Maaf salah orang la kau nak maki,

Tolong faham konsep rezeki sumbangan yang diberi,

Ikut suka si pemberi la siapa yang dia nak bagi.


Kepada penyumbang bagilah sendiri,

Malas dah rasa nak mengiringi,

Susah nak buat baik sekarang ni,

Lebih suka meminta dari berusaha sendiri.







SELOKA SLOTH

SELOKA SLOTH

 Pagi-pagi hadap kepala keretapi,

Orang lorat dia tak mau ke tepi,

Ya rabbiiii sakitnya hatiii,

Jumpa orang penting diri takde hati.




Bukan suruh laju macam kuda parsi,

Tapi jangan slow macam sloth tiga jari,

Pagi pagi sibuk nak mencari rezeki,

Bukan macam pakcik nak gi kedai kopi.


SELOKA AIR TUOK POKNIK

SELOKA AIR TUOK POKNIK

 Napok tuok pok nik lalu ku beli,

Sipe dale peti tok sir wi basi,

Air tuok poknik sedap sengoti,

Keno beli 3 botol baru puah hati.


Cepat cepat kelik tepek jari,

Lorak kelik nok nanok nasi,

Dale keto duk mikir sendiri,

Adus kempunan ku tak de rezeki.


SELOKA CENDOL SANTAN SAWIT

SELOKA CENDOL SANTAN SAWIT

 Makan cendol santan sawit hari ni,

Lawan pula dengan laksa telur sebiji,

Kenyang perut nak terburai dah ni,

Kaba kaba jenero bowoh mejo pahni.





Terima kasih pada si pemberi,

Belanja makan murah rezeki,

Lain hari kita makan lagi,

Open table nanti hari gaji ni.

TAYANG KERETA MEWAH BUKTI KAYA?

TAYANG KERETA MEWAH BUKTI KAYA?

 Ternampak billboard yang tersergam indah di tepi jalan dengan gambar seseorang di sebelah kereta mewah.


Che kak ingatkan nak jual kereta mewah. Rupanya sebagai daya tarikan untuk join apa ntah. Bisnes atau saham lebih kurang gitu la.


Sorry to say, che kak tak berminat langsung dengan apa jua bisnes atau saham yang tayang kereta mewah, rumah besar, duit berkepok-kepok.


Kenapa che kak tak berminat? Sebab tak de pun yang duk tayang kereta mewah tu tersenarai dalam orang kaya Malaysia.


Kalau betul kaya, kenapa takde dalam list orang kaya, kan?



Dalam bisnes ada jatuh bangunnya. Lebih baik ajar macamana nak urus kewangan yang lebih memberi manfaat.


Tak salah nak reward diri dengan harta yang mewah, namun simpan sahaja untuk tatapan sendiri.


Kesian sangat dengan ejen-ejen yang terpaksa beli stok setiap bulan dengan nilai yang tinggi.


Tak sempat habis terjual, masuk bulan lain kena beli stok lain pula. Ejen pula struggle nak kena menjual.


Founder kaya dengan hasil ejen yang beli stok dengan  MOQ yang tinggi.


KEBERSIHAN RUMAH KAMPUNG

KEBERSIHAN RUMAH KAMPUNG

 Berbelas belas tahun yang lalu.....


Assalamualaikum.

Waalaikummussalam.


"Mokcik wat gapo?"


Walaupun dah nampak warga emas tu tengah buat apa, tapi saje tegur untuk mukaddimah perbualan.


Tahu tak korang, makcik tengah buat apa?


Tengah berus tangga simen warna. Bersih giler takde lumut-lumut.


Bila naik atas rumah, wowwww!


Bersih bak hang. Seketul tahi cicak pun takde. Warga emas yang sangat menitik beratkan kebersihan. Rumah papan je pun.


Ok next. Cerita lain pula.


Che kak pergi melawat kes, rumahnya rumah kampung jenis papan yang tak bercat. Warna original papan. Tangga rumah pun papan. 


Gambar hiasan


Wow! Bawah rumah bersih giler. Takde sehelai pun sampah walaupun sehelai plastik gula-gula.


Naik atas rumah. Terkejut beruk. Beruk pun tak terkejut macam che kak. Bersih, kemas, tersusun elok je.


Pakaian dilipat dan disusun dengan sangat cantik dan kemas atas rak kain. Takde almari pakaian. Tersusun bagaikan ukur dengan pembaris.


Che kak minta izin nak tengok dapur dan bilik. Sangat kemas walaupun takde almari dapur cantik. 


Bersihnya dapur dia macam nak tido je kat situ.


Tuan rumah tak cantik tapi sangat menjaga penampilan dan kemas sehingga sedap mata memandang walaupun berkain batik dan blouse simple.


Bagaimana dia boleh urus rumahnya dengan bersih dan kemas walhal anaknya tersangatlah ramai dan semuanya masih kecil?


Rasanya itulah kali pertama dan takde yang kedua che kak jumpa di kalangan orang miskin yang kini dikenali B40 yang ada disiplin sebegitu.


Bagilah rumah batu yang baru, tapi sukar sangat nak jaga kebersihan.


Tak cantik dengan hiasan pun takpe la kan, asal kemas dan bersih.




KE MANAKAH HILANGNYA KASIH SEORANG ANAK TERHADAP BAPA?

KE MANAKAH HILANGNYA KASIH SEORANG ANAK TERHADAP BAPA?

Balik kerja tadi terlelap sekejap. Tak tau la penat sebab jalan kat kedai eco tengahari tadi atau  temankan ketua unit warga emas settle kes yang perlukan perlindungan. 


Hari ni dapat la juga belajar kes yang sebenarnya susah kita nak follow garis panduan. Tak seindah tertulis dalam kertas apabila melibatkan hati manusia. 


Hmmm che kak tak faham la kenapa ada anak-anak yang sanggup biarkan bapa seorang diri di wakaf masjid. Ke mana perginya peri kemanusiaan? Tak takutkah kifarah? 


Nasib baik ada sukarelawan JKM yang membantu tolong jaga warga emas tersebut sementara pihak berkaitan ambil maklum.



Berbalik kepada cerita tertidur tadi, sedar sebab anak kejutkan untuk solat asar. Lepas solat, terus masak dan  basuh baju. Ni pun ada lagi yang belum siap. Sambung esok je la.


Lagipun esok cuti. Boleh ler buat kerja rumah. Kerja rumah ni takkan habis.


Kalau penat, rehat. Kalau rasa sakit mata tengok kerja rumah tak siap, terpulanglah. Alhamdulillah anak-anak dah besar boleh tolong sama buat kerja rumah. 


Cuma che kak akan pastikan sebelum tidur wajib dapur kena bersih dan kemas. Penangan selalu baca cerita seram agaknya.



Sebelum tido tengoklah beg baru yang che kak beli tadi. 😁 Awaatif dah lama nak beg comel ni. So, kita utamakan permintaan dia dulu. 


Begitulah kita sebagai ibubapa ni. Kita sedaya upaya usahakan permintaan anak-anak. Lambat atau cepat pasti usahakan juga. 


RINDU SEORANG ISTERI PJJ

RINDU SEORANG ISTERI PJJ

 Biasanya sebelum subuh akan bau minyak wangi. Ada sesusuk tubuh yang bersiap nak ke masjid. Sekarang ni takde dah bau itu. 


Che kak beli minyak wangi tapi tak pernah pakai. Tak suka bau minyak wangi. Pening. Wangi lah macamana pun, memang tak boleh bau. Eh bukan nak cerita minyak wangi. Cuma terasa rindu je. 



Kerja-kerja rumah memang che kak boleh buat. Ni pun baru settle lipat kain. Abang Nan tengah  masak lempeng kosong.


Abang Ahyad sejak ada lesen motor, dialah yang pergi beli ayam. Tak tahu nak masak lauk apa ni. Rasa nak masak ayam paped la. Jap agi suruh anak beli lada merah kat kedai depan rumah ni je.


Bukan tak redha dengan ketentuan Allah. Cuma hati seorang isteri yang tetap rindukan suami. Walhal kalau ada depan mata, asyik bergaduh je. 😝


Bak kata suami che kak, abang relo panah peda dengan awok daripado panah sore. 🤣🤣


Masa awal perkahwinan pun memang dah PJJ sampai anak dah 3 baru boleh duduk sebumbung. Itupun selalu je outstation atas urusan kerja.


Maksudnya dah biasa berjauhan. Cuma dah tua tua ni malas dah nak hadap ujian pjj ni. Anak-anak semakin remaja ni pun perlukan pengawasan dari bapa.


Cuma che kak ralat kenapa tak di bawa berbincang atau maklum dulu sebelum ingin tukarkan kakitangan bawahan ni. Semuanya atas budi bicara walaupun ada kuasa.


Setakat ni che kak okey je. Elok je che kak duk kat sini dengan anak-anak dan buat kerja macam biasa.


Jangan jabatan che kak pula pi tukarkan che kak ke sana pula🤣🤣. Naya che kak nanti. Kenapa che kak pula kena berkorban.

BERHABIS DUIT UNTUK PERTANDINGAN ?

BERHABIS DUIT UNTUK PERTANDINGAN ?

Semalam awal che kak tido. Tak layan AJL sebab layan mata yang nak beradu. Last layan masa zaman lagu rock menguasai pentas JL dulu-dulu.


Tahu pun sebab duk lalu lalang kat medsoc. Kreatif artis-artis sekarang ni ye. Apa jua keputusan juri, kita hormat saja sebab mereka yang lebih arif. 


Walaupun sedap di telinga kita dan kreatif di mata kita, pasti ada kepincangan di mata telinga juri.


Tapi terkejut juga bila baca rupanya artis berhabis berpuluh ribu untuk persediaan pertandingan ni. Kalau menang okey la. Kalau tak menang adakah hangus macam tu je?  Ish sayang juga duit lebur macam tu je. 



Best macamana pun, tak leh lawan lagu rock ooo. Kekal sedap di dengar sepanjang zaman😝.

SELOKA HARI JADI

SELOKA HARI JADI

 Cuti 2 hari jaga budak seliuh kaki,

Jadi surirumah ke sana ke sini, 

Pinjam beg anak dara sunti,

Handbag putus tali belum berganti lagi.


Scroll shopee berhari-hari,

Naik lebam mata sakit ibujari,

Nak pergi kedai belum ada masa lagi,

Esok pergi kerja buh ic dalam plastik je barangkali.


44 tahun hidup tak pernah beli,

Rambang mata pilih beg sendiri,

Pakai beg buruk ku tak peduli,

Orang kata gaji mahal pun tak mampu beli.


Semalam hari besday sendiri,

Renew lesen dari pagi lagi,

Takut tercabut lutut jumpa pak polisi,

Esok pergi kerja senang hati.


Suami wasap maaf tak dapat beli hadiah lagi,

Cukuplah ucapan selamat hari jadi,

Suami kiriman Tuhan dah cukup disyukuri,

Asalkan si dia ada di sisiku ini.


Tadaaaa anak sulung dan abi,

Dua dua bagi hadiah beg ada tali,

Sebagai hadiah hari jadi,

Esok pergi kerja bergaya sekali.


Nasib baik rakan opis baik sekali,

Letak dalam raga motor dengan hati-hati,

Selamat sampai amanah diberi,

Selesai masalah nak letak lesen dan ic.


Yang mana satu nak wat gori,

Hitam dan coklat dua dua cantik sekali,

Ucapan terima kasih daun keladi,

Apa lagi nikmat yang nak ku dustai.


#selokaharijadi




SELOKA BEG PUTUS TALI

SELOKA BEG PUTUS TALI

 Beg putus tali,

Beraso sedih sekali,

Sekalo tok laki beli,

Kade2 buleh bekki.




Jauh di mata payah sekali,

Nok g keda maso ni,

Meme dop la kali,

Takut gelap tok dei masok nasi.


Beg ado sebutir,

Tok beli banyok butir,

Sebab malas wat gilir,

Tinggal bendo penting perit la weii.

SELOKA NASI GORENG KUNYIT

SELOKA NASI GORENG KUNYIT

 Goreng nasi kunyit campur lado,

Perisi aye goreng bahagie dado,

Takut membazir tohok sajo,

Anok tok lalu make takdo bapo,












Ibu keno make wat tamboh tenago,

Make bele2 jura air mato,

Teringat tok laki make sore takdok sapo,

Sekalo duk bbaloh pun kito teme sokmo,


Esok kuca air madu dan delimo,

Nok tamboh tenago kuaso kudo,

Sekalo tok laki jong tolong sokmo,

Apo kan dayo jauh dari mato,


Buke takut ado Sol kuaso duo,

Jodoh pertemuan kuaso Tuhan belako,

Tuo tuo ni nok di sisi sokmo,

Samo didik anok jadi manusio.

SEMINAR PENGURUSAN HARTA PUSAKA

SEMINAR PENGURUSAN HARTA PUSAKA

 Hari ni berkesempatan mendengar seminar pengurusan harta pusaka yang disampaikan oleh tok kadhi.



Sejak akhir-akhir ini kita dimomokkan dengan hibah dan seolah-olah faraid ini sangat menakutkan dan tidak berlaku adil kepada pewaris.


Walhal hukum faraid ni datangnya dari Allah sesuai dengan hamba hambaNya.


Walaupun kita memilih untuk bagi harta pusaka sama rata atau hibah, namun jangan sesekali berkata bagi sama rata kepada pewaris itu adalah lagi adil. Takut rosak akidah kita kerana kita  terlebih pandai dari Allah.


Kena belajar dan faham konsep faraid, hibah dan wasiat. 


Sekecil kecil benda yang memberi manfaat perlu difaraidkan. 


Kita kena tahu sape yang layak dapat harta pusaka.


Walaupun masih pening lalat lagi tentang pengiraan, tapi dapat faham tentang turutan pewaris pun dah okey.

NASI GORENG KUNYIT

NASI GORENG KUNYIT

 Nasi banyak lagi dalam periuk.

Tingggg nak masak nasi goreng kunyit.


Tumbuk kunyit, bawang merah, bawang putih dan lada burung. Kunyit fresh baru kutip dengan Awaatif kat tepi rumah ni haaa. Daun dia kita simpan nak masak rendang nanti.


Tumis la bahan tumbuk tu haaa sampai garing. Lepas tu letak isi ayam yang dipotong kecil kecil. Kacau sampai masak. 


Lepas tu pecahkan telur, kacau kacau. Jiwa tengah kacau sekarang ni😭.


Lepas tu letak la nasi dalam kuali. Kebetulan ada ayam goreng dan ikan goreng lebihan tengahari tadi. 


Ambil la isi dia lepas tu campak je dalam kuali. 


Cendawan tiram ada sikit lagi. Cendawan tiram tu beli ngan PPDK Limbongan hasil projek PEMERKASA. Alhamdulillah menjadi projek nye yee.


Eh cendawan tetap kena bayar juga tau takde free dan diskaunnye. Tetap kena beli dan ikut giliran🤣.


Dah siap. Lengkap dah tu piramid makanan🤣. 


Banyak Awaatif makan. Haha. Katanya sedap.


Eh lupa pula nak habaq buh la garam gula segala sesedap rasa tu haaa. Menu mahal macamana pun, kalau tawar heber, tak de makna kesedapan makanan itu.


Tapi terpulanglah nak letak atau tidak. Raikan sahaja kalau tak nak letak semua tu.




SIAPA YANG TERLEBIH DAHULU DERHAKA?

SIAPA YANG TERLEBIH DAHULU DERHAKA?

 Acap kali dah terjumpa kes warga emas yang anaknya tak mau jaga. Terutamanya  yang terpisah sejak anak-anak kecil.


Semasa masih muda dan sihat, sanggup abaikan tanggungjawab kepada anak-anak terutama anak-anak yang tinggal dengan bekas isteri.


Tadi pun ada terbaca luahan bekas isteri apabila nak minta nafkah anak, bagaikan urusan bisnes nak kena submit resit dulu. Walhal secara logiknya, perbelanjaan untuk anak-anak sangat tinggi sekarang ni.


Apabila usia dah meniti ke alam barzakh, maka kudrat sebagai lelaki dah tiada. Pada masa tu la baru teringat kat anak-anak. Apabila anak tak nak jaga, tahu pula cop anak derhaka.


Kalau bernasib baik ada duit, boleh la upah seseorang tolong jaga atau tinggal di pusat jagaan berbayar yang lebih selesa.


Ingatlah wahai bapa-bapa atau bekas bekas suami, jangan sesekali menganiaya anak-anak dan bekas isteri atau isteri-isteri sekiranya kamu berpoligami.


Tak selamanya kamu sihat dan muda!




HASLIZA SAYANG © . Designed by MaisarahSidi.com