July 2019 - HASLIZA SAYANG HASLIZA SAYANG: July 2019
MELAKA SIRI 2 - 9 JULAI 2019

MELAKA SIRI 2 - 9 JULAI 2019


💖9.7.2019💖

Jom le pergi makan sarapan. Dah nampak bayang nak sarapan kat mana. Hihihi.

Ofkos la Restoran Asam Pedas Selera Kampung. Che kak pernah tengok dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan.


Alamak! Takde pulak asam pedas. Menu asam pedas hanya ada waktu lunch. Konsep makan kat sini secara berhidang macam makan kat rumah.




Menarik betul sejarah lesen kedai makan ni. Sejarah!

 Mata che kak nampak menu ikan keli goreng. Hehehehehe.. Apa lagi tak tengok kiri kanan dah. Kecik pun kecik je la. Asal ikan keli. Kalau kat Kelantan, che kak pilih ikan keli yang paling besar. Gulai daging salai dan tempe goreng. Harga dah lupa. Tapi harga masih mampu milik la.


Mmmm tak nampak menu hijau kehijauan. Nampak sangat kami bukan kaki makan sayur dan ulam. Che kak makan je sayur dan ulam. Cuma malas nak kunyah. Eh banyak pulak alasan.


Jam menunjukkan masih awal lagi. Lagipun kursus start pukul 2.30 petang. Tak sampai 1 jam je jarak dari Bandar Hilir Melaka ke Kem Asahan. Apalagi! Rugi la tak gi jalan-jalan tengok tempat bersejarah.


Jalan jalan jalan jalan jalan, weiii dah jauh rupanya kami berjalan. Rasa macam nak sewa cab je balik ke hotel. Biasanya kalau nak pergi ke kedai depan rumah pun che kak malas nak jalan.

Tapi takpe. Nak simpan memori kenangan ke Melaka punya pasal, sanggup je jalan kat tempat bersejarah. Kalau tak kurus, memang saje je.


Bandar Hilir memang kaya dengan tempat bersejarah peninggalan Belanda dan Portugis. Rugi tau tak melawat walaupun sekejap. Bekas gewe che kak dulu takde pulak bawa che kak gi jalan-jalan kat sini walaupun dia pernah kerja kat Masjid Tanah, Melaka. 😁

Sempat tengok dari luar je la replika kapal. Apa papan tanda gantung 'close'. Muzium Samudera namanya. Terletak berhampiran Sungai Melaka. Kapal portugis apa ntah dah lupa. Kapal ni karam kat Selat Melaka tahun 1500.  Teringin nak masuk tengok apa ada dalam kapal tu hah. Pergh kot-kot la rasa macam duk zaman dahulu kala.



Menara jam besar terletak kat Jalan Gereja. Bangunan Stadhuys pun terletak kat jalan situ juga. Eh che kak nampak pengantin baru sedang bergambar. Sis, pinjam gaun boleh tak? Hehe..



Bangunan yang warna merah tu laaa. Bangunan ni adalah bangunan penempatan rasmi Gabenor Belanda yang dibina tahun 1650. Banyak kompleks muzium rupanya. Tapi kami tak masuk tengok muzium. Tumpang lalu je.

1. Muzium Sejarah dan Ethografi
2. Galeri Laksamana Cheng Ho
3. Muzium Sastera
4. Muzium Pemerintahan dan Demokrasi
5. Muzium Yang Di-Pertua Negeri








Jom panjat tangga pula. Penat, mengah. Tapi nak tengok juga apa yang ada kat atas Bukit St Paul. Difahamkan asalnya ianya adalah lokasi Istana Melaka sebelum serangan Portugis. Lepas tu dibina kubu A' Famosa.




Kat situ ada juga peniaga jual koleksi cenderahati. Che kak sempat beli key chain. Itupun sebab tertarik dengan uncle yang peramah dan pandai layan pembeli. 







Semasa jalan pulang ke hotel, kami nampak  tempat informasi sejarah kemerdekaan.




40 tahun hidup, baru che kak tahu pokok melaka macamana rupa dia. Rupa macam pokok cermai. Eh che kak rasa macam kena tipu je. Hahaha..


Kat sini je la dulu ye.. Nanti che kak sambung lagi. Rasa dah ting tong.

-che kak-



https://haslizasayang.blogspot.com/2019/07/melaka-siri-1-8-julai-2019.html














 MELAKA SIRI 1 - 8 JULAI 2019

MELAKA SIRI 1 - 8 JULAI 2019

Sebagaimana yang dijanjikan pada diri sendiri, che kak nak tulis kisah ke Melaka. Che kak bersama 2 orang kawan che kak kena hadir kursus. Kursus best giler tahap gaban. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas hakiki, demi Melaka che kak nak gi juga. 

Melaka terlalu istimewa dalam hati che kak walaupun che kak bukan orang Melaka. Kenapa? Nanti che kak cerita hari lain la ye.

Nama kursus ialah Kursus Pemantapan Kerja Berkumpulan Penyelaras 2YEP JKM pada 9 hingga 11.7.2019 di Kem Bina Negara, Asahan Melaka.

💖8.7.2019💖

Che kak bersama Hanis Penyelaras 2YEP JKMN Kelantan merangkap ex officemate che kak masa kerja kat JKM Pasir Mas dan En Kasmad dari JKM Kota Bharu yang menggantikan Kak Saripah. Bertolak sehari lebih awal sebab daftar kursus jam 2.30 petang pada 9.7.2019. Kalau bertolak hari yang sama takut tak sempat masuk kelas. Driver abang Joe. Antara driver yang paling sporting kat JKMN Kelantan.

Perjalanan melalui highway Terengganu. Singgah untuk solat dan makan kat Perhentian Paka. R&R sangat cantik dan selesa. Makanan takde la mahal sangat. Kiranya masih lagi harga mampu milik.

Selepas merentasi Pasir Puteh, Terengganu, Bandar Muadzam Shah, Kuantan, Segamat, Gemas, Alor Gajah akhirnya sampai kat Bandar Hilir Melaka. Pergh. Merentasi 6 negeri dalam masa 9 jam. 

Banyak tempat yang namanya pelik sepanjang laluan kami. Lucu! Tapi kami cepat-cepat sedar. Orang datang tempat kita, agaknya macam tu juga la diorang gelakkan nama tempat kita.

Rugi tak tengok pemandangan walaupun melihat pemandangan kebun kelapa sawit. 

Kami decided nak bermalam di Bandar Hilir Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke Asahan keesokkannya. Kalau bermalam kat Alor Gajah rasa macam takde apa-apa yang menarik.

Kalau bermalam kat KL, lagi la tak sempat nak jalan-jalan nanti.

Sejak dari Kota Bharu lagi, Hanis nak singgah Watson. Nak beli barang mekap sebab tertinggal kat rumah. Kihkihkihkih. Wanita dan alat solek tak dapat dipisahkan walaupun hanya sebotol deodorant. Sudahnya beli kat Watson di Bandar Hilir Melaka. Che kak yang tak rancang nak beli, terbeli juga la bedak dan lip balm.

Sementara nak check in hotel yang kena bayar sendiri dulu, kami sempat jalan-jalan kat sekitar Bandar Hilir.  Walaupun penat, tapi seronok. Makan adalah agenda wajib. Haha. Dapat member suka makan, memang ngam la. Jangan sesekali gi jalan-jalan dengan orang diet. Hahaha..


Hanis suka makan kat tempat viral. Che kak tumpang sekaki le kenal tempat makan viral. Menu asam pedas memang dicari-cari kat Melaka ni hah. Tak sah kalau tak makan asam pedas. Makan asam pedas kat kedai Asam Pedas Jr. Sedap tahap biasa je la kot bagi tekak kami berdua.


Che kak dan Hanis jalan-jalan sekitar Dataran Pahlawan. Hanis beli kuih keria gula melaka. Che kak tak beli sebab serik dan frust masa beli kuih tu kat Batu Berendam tahun lepas. Tak sedap langsung dan keras kejung banyak tepung. Tapi apabila makan yang Hanis punya, mmm sedap. 

Kami mampu tengok je la Menara Taming Sari naik dan berputar kat atas tiang. Tiket RM18.00 wakkk. Menara Taming Sari ni adalah menara pandang yang berputar. Kita dapat tengok panorama bandar Hilir. 


Beca basikal yang penuh warna warni pun kami hanya mampu tengok je. RM25.00 untuk 2 orang naik. Bukan tak sayang duit. Tapi kami lebih suka wat beli makanan. Hahaha.




Sempat juga la beli belacan bakar, manisan dan cencalok RM10.00 untuk 3 item tu. Kalau beli satu harganya bertukar RM4.00.


Che kak dan Hanis check in kat Hotel Mawardah. RM100.00 untuk 1 bilik. Selesai mandi dan solat, apalagi, tidur la jawabnya. Sakit badan la wei. Zzzzzzzzzzzzzzzzz.

Kisah 9.7.2019 che kak sambung nanti ye. 

-che kak-






RANGKULAN KASIH UMRAH RAMADHAN 1439 H 2 JUN - 13/14 JUN 2018 - SIRI 3

RANGKULAN KASIH UMRAH RAMADHAN 1439 H 2 JUN - 13/14 JUN 2018 - SIRI 3


30.5.2018, che kak bersama penerima JKM yang terpilih bertolak ke Kuala Lumpur dengan bas JKM. Ada yang pergi sendiri. Tak sabar rasanya. Walaupun rasa sedih tinggalkan suami dan anak-anak, namun kerinduan dan kecintaan kepada baitullah mengatasi rasa sedih. Bagaikan terkena penyakit angau dengan cinta.




Makcik Nab


Dengan berpandukan waze akhirnya selamat sampai kat Hotel Tabung Haji Kelana Jaya sebaik sahaja azan maghrib menandakan waktu berbuka puasa.

Keesokannya pendaftaran dan taklimat. Bagaikan mimpi che kak dapat tengok dan mendengar secara live Ustaz Dato' Md Daud Che Ngah. Che kak memang minat dan suka dengar ceramah-ceramah ustaz sejak kecil lagi. Che kak selalu juga baca kisah-kisah umrah dan haji dalam majalah Mastika.


Booth pemeriksaan kesihatan. 


Memang best dengar ceramah ustaz. Semoga golongan pendakwah dan ulamak terus istiqamah dalam perjuangan menyampaikan dakwah Islamiyyah. Semoga ustaz diberi kesihatan yang baik agar terus dapat menabur bakti kepada tetamu Allah.

Ustaz Dato' Md Daud Che Ngah bagi taklimat kepada petugas sukarelawan


Semoga anak-anak zaman ini kenal dengan tokoh agama


Teruja! Tapi masih under control malu la. Malu wei. Che kak ada juga  selfie dengan ustaz. Tapi takde la che kak nak tergedik macam jumpa artis.

Mmmmm dugaan hati yang paling besar. Istighfar banyak-banyak agar Allah pelihara hati che kak. 


Semasa majlis perasmian, barulah che kak kenal dengan pemilik Andalusia. Beliau menceritakan bahawa beliau dari keluarga yang susah. Tak sempat menghantar ibubapanya ke Mekah. Sebab itulah beliau mengambil inisiatif ingin membantu golongan warga emas yang miskin dan tak mampu untuk ke Mekah.

Antara asnaf penerima JKM yang terpilih


Jemaah dari Kelantan

Beliau bermula dari bawah. Pernah bekerja makan gaji. Hanya sempat memberi sekali sahaja gajinya kepada ayahnya sebelum ayahnya meninggalkan dunia yang fana ini.



Kata orang, rezeki dikongsi bersama. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.




Nak cerita juga la tentang makcik yang comel. Che kak kagum dengan makcik dari Pasir Mas. Che kak bahasakan dirinya sebagai 'mok'. Umur 73 tahun. Pukul 4.00 pagi, dia dah bangun dan mandi. Lepas tu solat tahajjud. Nampak mudah je. Apabila dah menjadi amalan, nampak mudah je kan. Masa sahur dan berbuka puasa, sikit je mok makan. Patut la comel.

Mok memang comel, cute, kecil molek. Walaupun dah berusia, manis je wajahnya. Che kak selalu je peluk mok. Mok jaga penampilannya. Memang tak puas tengok mok. Che kak suka mengusik mok sebab apabila dia gelak dan senyum, alahai macam anak dara. Malu-malu gitteww.

Sayang mok. Dah rasa macam nenek sendiri.


Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. 2.6.2018 (hari lahir suami che kak), kami berangkat ke KLIA. Lambaian Mekah dah memanggil-manggil.


Biru mata hitamku



Tapi sedih sangat sebab pakcik Jamil dari Gua Musang tak sihat. Dengan rasa semangat yang kuat, pakcik Jamil lawan sakitnya. Che kak ingatkan pak cik Jamil demam biasa aje. Ingatkan tubuh lemah sebab kurang gula. Asal sakit kencing manis, mesti duk ingat kurang gula. Siap bagi air manis dan kurma. Lepas tu baru pakcik Jamil bagitau, takut gula tinggi. Alamak! Nasib baik Andalusia ada doktor yang bertugas.

Pakcik Jamil. Semoga ada rezeki pakcik nanti 


Jemaah lelaki dah pakai pakaian ihram. Tapi belum niat ihram lagi. Naye je kalau dah niat. Nanti mutawwif akan bagitau waktu bila kena niat ihram semasa dalam kapal terbang nanti.

Cukup la dulu setakat ini. Nanti che kak cerita pula pengalaman berada di Mekah. Subhanallah, rindunyaaaa...   Tak tergambar perasaan rindu ni. Semoga diberi rezeki dan peluang lagi untuk ke sana.




Kaunter khas di KLIA untuk jemaah Andalusia


#Nota tambahan: Kena beli plug international. RM20.00.
RANGKULAN KASIH UMRAH RAMADHAN 1439 H 2 JUN - 13/14 JUN 2018 - SIRI 2

RANGKULAN KASIH UMRAH RAMADHAN 1439 H 2 JUN - 13/14 JUN 2018 - SIRI 2


Hari ini che kak nak sambung kisah Rangkulan Kasih Umrah Ramadhan. Lebih kepada cerita pengalaman che kak. Bukan niat nak riak ke apa ke. Hanya sebagai kenangan dan rezeki paling indah yang dikurniakan kepada che kak.


Che kak terlalu sibuk sebab nak siapkan tugas-tugas hakiki kerja che kak. Itupun che kak terpaksa tinggalkan 'saka' kat boss dan kawan opis che kak. Tak sempat juga siap kerja.

Hanya sekali je che kak sempat mengikuti kursus umrah di Machang. Che kak tengah fokus dengar ceramah dan amanat ustaz penceramah.

Tapi makcik sebelah che kak sibuk suruh tulis buku nota dia.  Tapi dia duk tersengguk-sengguk sebab tertidur.

Untuk persediaan barangan hanya ala kadar sahaja. Nasib baik mak che kak pandai menjahit. Dapat la jahit 3 pasang jubah. Alhamdulillah rezeki sentiasa ada walaupun che kak takde duit yang banyak untuk persiapan ke mekah.

Antara keperluan yang che kak sediakan walaupun last minit:

2 helai jubah hitam (ma jahitkan)
1 helai jubah putih (ma jahitkan)
3 helai telekong solat (hadiah dari suami dan boss che kak, sumbangan Andalusia)
1 pasang baju kurung (sedia ada)
1 pasang t-shirt dan skirt muslimah (sedia ada)
2 helai kain tudung labuh hitam (sedia ada)
1 helai kain tudung  labuh (sedia ada)
1 botol spray (sumbangan Andalusia)
1 pasang kasut tawaf (RM5.00)
3 pasang stokin tebal (RM10.00 sepasang beli dengan ofismate)
3 pasang sarung tangan (sedia ada, sumbangan Andalusia)
3 helai kain sarung
3 helai t-shirt (baju tidur)
1 helai tuala (tak bawa pun takpe sebab hotel ada sediakan tuala)
2 helai sapu tangan @ tuala muka. (Che kak ada tuala muka percuma dari D'freshpicks)
1 pasang selipar getah sedia ada. Tak sempat nak beli, pakai selipar yang ada je la. Asal selesa.
Pakaian dalam
Pantiliner dan kapas
3 peket tisu basah
Cermin mata hitam (suami punye)
Gunting kecil untuk tahallul (beli kat kedai RM2)
Pengetip kuku
Pisau cukur
Penyangkut baju dan pengepit kain

Untuk set penjagaan diri:
Lipbalm homemade
Deodorant homemade
Sabun susu kambing
Sabun mandi khas untuk haji merangkap syampu(sebenarnya boleh je bawa sabun mandi biasa. Sebab kita bukannya sepenuh masa dalam ihram)
Sikat rambut
Ubat gigi, berus gigi
Sabun basuh kain (che kak guna sabun buku cap buruh warna kuning. Sabun legend. Seketul hanya tahan seminggu je).

Lipbalm , deodorant homemade 

Bekalan susu kambing dan kurma wajib che kak bawa.

Che kak tak bawa krim muka dan krim sun protection. Sebab che kak duk ingatkan kat Mekah tak leh pakai. Walhal masa dalam ihram je tak boleh pakai. Muka jadi hangus 'sun burn' wei.

Che kak tak bawa handbag. Che kak guna beg kecil sumbangan Andalusia. Beg tu kita sangkut kat leher dan ada tali yang diikat kat pinggang. Dalam beg tu muat la letak purse, telefon, buku panduan umrah.


Che kak tukar duit kat dalam KB Mall. Lupa pula nama kedai money changer tu. Tukar RM500 dapat la lebih kurang 450 riyal. Itupun duit suami yang bagi.

Sebelum bertolak ke KL, boss-boss dan kawan-kawan ada bagi duit sumbangan. Lebih kurang RM300 juga. Terima kasih banyak-banyak atas sumbangan kalian.

Che kak memang tak sabar nak bertolak ke Mekah. Bagaikan melambai-lambai. Rindu yang tak tertahan rasanya.

Nanti che kak cerita siri ke 3 pula. Pengalaman semasa berada di  Tabung Haji Kelana Jaya untuk program perasmian dan kursus perdana umrah.


RANGKULAN KASIH UMRAH RAMADHAN 1439 H 2 JUN - 13/14 JUN 2018 - SIRI 1

RANGKULAN KASIH UMRAH RAMADHAN 1439 H 2 JUN - 13/14 JUN 2018 - SIRI 1


Nikmat mana lagi yang perlu che kak dustakan. Dapat rezeki Allah yang tak terduga langsung. Sedikit pun che kak tak termimpi nak tunaikan umrah waktu yang terdekat lebih-lebih lagi tahun ini.

Nak harapkan simpanan? Nak mimpi pun tak mampu. Walaupun selalu juga berkata-kata, "mimpi je pun, tak perlu kena bayar". Yessss.. Mimpi yang menjadi kenyataan yang tak perlu bayar. Allah yang tolong bayarkan.

Che kak rasa syukur yang amat sangat dengan rezeki Allah. Tak tergambar perasaan gembira dan terharu.  Che kak tumpang rezeki asnaf yang terpilih dari kalangan penerima bantuan JKM dan warga emas dari Rumah Seri Kenangan JKM.

Syarikat ANDALUSIA Travel & Tours telah taja pakej umrah kepada 136 penerima bantuan JKM. Pakej umrah 10 terakhir ramadhan yang bernilai RM9900 seorang. Termasuklah taja kami sebagai sukarelawan @  petugas @ pengiring.

Program Rangkulan Kasih Umrah Ramadhan 1439H dianjurkan oleh Andalusia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan (MOTAC) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Asnaf@penerima bantuan JKM  dari Kelantan seramai 13 orang. Che kak sebagai sukarelawan yang akan mengiringi asnaf.

Berita gembira ni che kak dapat semasa tengah tunggu keputusan pilihanraya umum pada 9.5.2018. Ya Allah, rasa nak melompat-lompat je sebab happy sangat.

Maka, bermulalah episod berkejar-kejaran dengan masa. Nak siapkan pasport dan dokumen-dokumen yang perlu segera di hantar ke pihak atasan. Nak siapkan kerja hakiki lagi. Rasa macam tak cukup tanah bak kata orang. Tapi Allah telah  permudahkan semua urusan.

Dalam masa 1 hari nak kena siapkan dokumen.
Pasport RM200.00.

Salinan sijil nikah yang perlu disahkan oleh pejabat Agama, kena cas RM10.00.

Suntikan mers cov RM130.00. Che kak dapatkan suntikan kat klinik Perdana.

Lepas tu berkejar pula kat Pejabat Pendaftaran Negara untuk sahkan salinan kad pengenalan suami.

Untuk surat keizinan mahram, kena cop pesuruhjaya sumpah. Tak semestinya kat mahkamah. Cop kat pesuruhjaya sumpah swasta pun boleh. Asalkan berdaftar dan diiktiraf oleh badan kehakiman. Kalau swasta, cas RM10.00.

Gambar pasport khas untuk visa umrah. RM15.00.

Dokumen ni perlu diserahkan kepada pihak Andalusia untuk permohonan visa umrah pula. Walaupun pihak kementerian dan andalusia menyokong, namun terpulang kepada pihak kedutaan Arab Saudi untuk meluluskan visa.

Selesai sediakan dokumen untuk visa, kena settle dokumen peringkat jabatan pula. Borang kebenaran ke luar negara, borang cuti umrah, borang cuti rehat, borang kebenaran menerima hadiah dan borang insurans luar negara.

Walaupun rezeki dari Allah, sudah tentu che kak amat berterima kasih kepada suami kerana mengizinkan che kak pergi. Che kak juga amat menghargai jasa-jasa big boss iaitu Puan Roshayati, Tuan Pengarah, boss che kak sendiri, dan kementerian kerana memberi peluang kepada che kak.

Sebelum itu, pihak Andalusia dan MOTAC dah turun padang untuk menghantar surat tawaran kepada penerima bantuan JKM termasuklah penerima JKM Pasir Puteh. Rezeki Pakcik Ismail bin Deraman. Pada pendapat che kak, pakcik Ismail memang kategori asnaf dan memenuhi kriteria Andalusia.

Pakcik Ismail Deraman, calon dari JKM Pasir Puteh yang berjaya mendapat tawaran umrah ramadhan 2018.

Cukup setakat ini dulu untuk siri 1. Lepas ni che kak sambung cerita untuk siri 2 dan seterusnya. Banyak nak cerita. Takde niat sikit habuk pun nak riak ke apa. Sekadar perkongsian pengalaman sebagai sejarah hidup yang tak hilang dari 'buku cerita' che kak.
WAJARKAH BERDEBAT ISU POLITIK DI KEDAI KOPI

WAJARKAH BERDEBAT ISU POLITIK DI KEDAI KOPI

Ada 2 orang pakcik sedang bertelagah. Semakin lama semakin tinggi suara masing2. Bertelagah tentang parti politik masing2. Masing2 beranggapan parti aku yang bagus. Berdebat tentang isu2 semasa yang pastinya takde hadiah utama apatah lagi hadiah saguhati.

Geram nak tegur pakcik berdua tu. Tapi tak de gunanya larang mereka berdua apabila masing2 tak nak mengalah.

Pakcik ooo pakcik. Pakcik dibayar gaji ke untuk berdebat siapa yang hebat. Pakcik diberi elaun ke untuk mempertahankan parti masing2.

Kesian sama pakcik. Biar la pak menteri yang buat kerja mereka. Mereka diberi gaji ratus ribu. Biar la mereka buat kerja mereka. Kalau tak jalankan amanah mereka sebagai menteri, biar la mereka sendiri yang jawab dengan Tuhan. 

Biar la Yang Berhormat buat buat kerja mereka. Kalau betul mereka buat kerja, alhamdulillah. Kalau mereka tak buat kerja, pakcik tunggu la nanti masa pilihanraya. Pakcik pangkah la calon parti yang buat kerja demi rakyat. Bukan demi poket sendiri.

Kesian sama pakcik. Duk fikir masalah negara. Beras rumah pakcik sape yang belikan. Kalau bini pakcik yang belikan, baik pakcik muhasabah dan fikir masalah rumah pakcik sendiri.

Kesian sama pakcik. Kalau pakcik sakit sebab stress duk berlawan debat, pakcik juga yang susah sebab terpaksa minta bantuan nak bayar duit spital. Pak menteri sakit takpe sebab dia banyak duit dan insurans cover kos rawatan diorang.

Pakcik fokus saja la kat kehidupan seharian pakcik. Kalau ada orang ajak debat, tanya dulu, dapat hadiah ape?

#partitupperwarejugayangbest


KISAH ANAK-ANAK SIDEK

KISAH ANAK-ANAK SIDEK

Jame sekoloh rendoh, meme che kak wehi bbaloh dengan adik beradik. Terutama hok nombor 2. Lepas bbaloh gak, ayoh bedal dengan tali pingge askar hok warno hijau. Insaf meta. Lepas tu bbaloh pulok.

Tapi awas! Sapo2 hok buli dan kenak adik che kak, meme che kak akan timbuk tok kiro sapo. Sekalo gak, che kak hok mene. Kalu ado ore ngadu kato keno kenak ko che kak, meme ore tok cayo.

Sapo nok cayo gak, budok sakit jantung kuruh kering nok timbuk budok. Kahkahkah.

Pernah la sekali che kak tertengok baju adik. Ado ore curi baju adik. Che kak apo lagi. G gusti dio la jawabnyo. 

Adik bosu che kak minum air coca cola pun che kak triok sedih. Sebab maso tu, dimomokkan coca cola ni air Israel.

Ado satu peristiwo sampai ke loni che kak menyesal. Che kak bowok adik jate g round keliling kampung dengan basikal BMX. Tengoh laju turun bukit, kaki dio lekat celoh besi tayar basikal. Allah! Pucat llesi sero. Cepat2 che kak sekat ore mudo naik muto. Abe buleh ko tolong? Kaki adik kito lekat ni.
Mujur jugok jame ritu takdok ore jahat po loni. 

Keno cabut tayar dulu wei.  Mujurnyo tok cacat. Ma senyap jah. Bokali runsing takut kaki anok dio tok leh jjale. Tapi loni buleh jadi askar molek2 ado eh.

Maso adik nombor 4 baby lagi. Dio wehi triok. Ma g mandi. Sambil2 ngasuh dio, che kak baco kartun dalam suratkaba. Ado la perkataan celaka. Che kak pun royak celaka Ila. Aponyo ma pun wi napar sutir kat pipi. Bengong kelu meta sero. Eh saloh ko ambo royak gitu ko adik? Maso tu che kak darjah 2.

Maso sekoloh menengoh, che kak jare bbaloh sebab duk asrama. Balik sebulan sekali. Tok dei nok bbaloh.

Maso ngaji di UPM, che kak bermimpi. Adik beradik che kak lemas dalam laut. Che kak sedar. Che kak triok. Aloh la bakpo dengan adik2 pulok. Ruponyo ayoh dengan ma ccerai. Lepas 20 tahun bina rumahtangga, akhirnya jodoh mereka berdua takdok.

Che kak jare balik rumoh sebab sero sebok sokmo tengok adik2. Lebih2 lagi hok bosu. Che kak wat kerah hati jah. Wat manggok jah. Tapi bilo duk sore, air mato ni mudoh jatuh. Sebab tu che kak wat kijo mace2. Tok sir kelik duk dumoh.


Adik2 che kak dah ada kehidupan masing2. Che kak bukan kakok yang baik. Tapi jauh di sudut hati, che kak sayang sangat ko adik2. Walaupun berbeza perangai, kito lahir dari 1 ibu 1 bapa yang sama.



NILAI HARGA SEORANG GURU AL QURAN

NILAI HARGA SEORANG GURU AL QURAN


Bestkan kalau anak kita pandai mengaji alquran dengan baik sekali. Paling basic pun nak juga pandai tentang hukum hakam tajwid, makhraj dan taranum.

Sebagai ibubapa adalah bonus kalau kita dapat ajar sendiri. Tapi kebanyakannya tak mampu nak ajar sendiri. Jadi cara yang terbaik ialah kita upah guru quran. Tapi berapakah kos upah yang paling afdal?

Apabila guru quran letak harga, dikatanya jual agama. Kenapa tuisyen kita sanggup bayar beratus-ratus tinggit? Kenapa kelas vokal nak jadi artis kita sanggup bayar? Kenapa pergi gym kita sanggup bayar?

Tapi wajarkah nilai guru quran dibayar dengan kos RM1.88 bagi tempoh 1 jam?

Berapakah nilai titik peluh seorang guru quran terpaksa redah kegelapan malam dan hujan dengan membonceng motosikalnya ke rumah kita?

Berapakah nilai ilmu dan keberkatan seorang guru quran apabila dia meletakkan harga dan terpulang kepada ihsan ibubapa?
Kalau bukan kita yang memartabatkan quran dan pembawa kalam Allah itu, siapa lagi?

Semoga dengan nilai RM30.00 sebulan itu, anak-anak anda kaya dengan ilmu quran di dada dan mendapat keberkatan seorang guru yang bersusah payah demi cintanya pada Quran.

PERSOALAN JODOH

PERSOALAN JODOH

Jodoh di tangan Tuhan. Tapi sebagai manusia, kita perlu ikhtiar, doa dan tawakkal pada Allah. Nak cari jodoh yang sempurna memang sukar. Sentiasalah solat hajat dan istikharah agar Allah kurniakan jodoh yang baik untuk kita. 

Bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain, dapat jodoh lain walaupun dah berkahwin. 

Seandainya tiada jodoh, jangan disimpan dendam. Jangan dibalas dendam. Jangan dibuat musuh perang dunia ke lapan. Move on. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. 

Apabila kita dapat jodoh, jangan mengharapkan pasangan kita sempurna sebagaimana impian kita. Sepanjang mengemudi alam rumahtangga  itu adalah proses pembelajaran. 

Pada zaman ini, jangan impikan pasangan kita seperti Siti Khadijah. 

Selain perhubungan suami isteri, anggaplah pasangan kita sebagai sahabat. Sahabatkan tempat kita meluahkan perasaan suka duka. 

Jaga maruah pasangan kita. Jaga aib pasangan masing-masing. Baik buruk pasangan kita, kita yang lebih tahu.

Kalau perlu luahkan perasaan, carilah insan yang benar-benar mampu jaga amanah. Lumrah kita sebagai manusia, nak juga ada orang dengar luahan hati kita.

Seandainya jodoh terputus di tengah jalan, simpan elok-elok buku cerita lama. Teruskan hidup masing-masing. Kalau tak mampu jadi seperti keluarga besar Norman Hakim, jangan jadi seperti artis Indonesia yang mengaibkan bekas isteri. 

Rumahtangga mana yang tak dilanda ujian. Pasangan mana yang tak diuji. 

Che kak tak pandai nak bagi nasihat rumahtangga. Che kak sedar diri, che kak bukan isteri yang baik. Cuma che kak bernasib baik dapat suami yang baik.













WAJARKAH LABEL SESEORANG SEBAGAI AHLI SYURGA DAN NERAKA

WAJARKAH LABEL SESEORANG SEBAGAI AHLI SYURGA DAN NERAKA

Siapakah kita untuk melabelkan seseorang itu sebagai ahli syurga atau neraka?

Syurga atau neraka, hanya Allah yang menentukan. Kita masuk syurga, bukan kerana banyaknya timbangan pahala kita. Tapi kerana rahmat dan redha Allah. Kalau nak kira dengan timbangan amalan kita, memang tak lulus.

Begitu juga dengan ahli neraka. Siapa kita nak tentukan dia adalah ahli neraka? Mungkin akhir hayatnya, dia sempat bertaubat pada Allah dan Allah telah menerima taubatnya.

Berbeza dengan kita? Kita dah bertaubat ke dengan dosa-dosa kita? Sebagai manusia, kita adalah pendosa. Tiada yang suci tanpa  dosa. 

Rasulullah yang Allah dah janjikan syurga pun, sentiasa bertaubat. 

Allah dah bagi panduan untuk kita mendapatkan rahmat dan redha Allah. Ikut sahaja suruhanNya dan tinggalkan laranganNya.

Kalau tersalah langkah,  mohon keampunanNya. Kalau ada dosa dengan manusia, pandai-pandai la kita mohon maaf.

Gelaran ustaz, ustazah, ulamak, pegawai agama, menteri agama, imam, PU, ketua agama dan apa sahaja gelaran yang membawa imej Islamik, bukanlah tiket ahli syurga. Bahkan lagi berat tanggungjawab dan amanah yang kena pikul untuk mengajak dan menyampaikan dakwah Islamiyyah.

Namun begitu, kita sebagai orang biasa yang kurang ilmu agama, sejauh manakah usaha kita untuk mencari ilmu agama? 

Kita tahu dosa tidak menutup aurat dengan tidak sempurna. Kita kutuk mereka. Kita label mereka sebagai ahli neraka. Tapi apakah usaha kita terhadap mereka? Adakah kita mengajak mereka menutup aurat dengan penuh hikmah? Adakah kita hadiahkan mereka kain tudung dan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna? 

Kita tahu dosa mencuri. Tapi apakah usaha kita untuk mendekati dan menasihati mereka tentang dosa mencuri? Apakah usaha kita untuk membantu mereka supaya tidak lagi menjadi pencuri? 

Kita melihat mereka solat jemaah di masjid setiap waktu. Kita anggap mereka ahli syurga. Tapi tanpa kita sedar, dia telah menganiayai isteri dan anak--anaknya dengan tidak memberi nafkah. Bahkan, dia telah membuat aniaya pada seseorang iaitu dengan sengaja tak bayar hutang orang.

Kita rasa diri kita baik sangat. Tapi pada masa yang sama, kita buang sampah melalui tingkap sehingga mengganggu pemandu lain. Pada masa yang sama, kita membazir makanan kat majlis kenduri. 

Kita rasa kita ahli syurga. Pada masa yang sama, kita lukakan hati ibu kita dengan tutur kata dan perbuatan kita.








NILAI AMANAH MELALUI SEKEPING DUIT SERINGGIT

NILAI AMANAH MELALUI SEKEPING DUIT SERINGGIT

Teringat kisah masa che kak darjah 1. Ayah bercerita pasal duit dan nombor siri. Walaupun ada sedikit auta, tapi ianya melekat, terlekat kat minda che kak sampai sekarang. Semoga Allah pelihara che kak supaya sentiasa beramanah sampai bila-bila.

Duit seringgit masa tahun 80 an cukup besar nilainya. Maklum la bawa duit 20 sen je. Sekali sekala dapat bawa 50 sen tu sero supo anak orang kaya wei.

Tapi che kak jarang belanjakan 20 sen tu. Che kak simpan. Sebab bawa bekal ke sekolah. Setiap hari Jumaat, van BSN akan datang ke sekolah. Che kak simpan RM1.00 setiap minggu.

Cerita disebalik duit dan nombor sirinya...

Ayah kata, kalau duit ayah hilang, ayah tahu hilang kat mana. Kalau beli dengan duit ayah tanpa izin, ayah tahu juga kat kedai mana duit tu berada.

Walaupun masa tu che kak tak faham apa maksud ayah, tapi che kak takut. Entah apa yang che kak takut. Takut kena marah la kot.

Otak budak darjah 1 masa tahun 80 an, tak dapat nak faham macamana si ayah akan tahu duit dia duk kat kedai mana.

Ayah tunjuk nombor siri. Ayah kata ayah ingat nombor siri kat semua duit ayah. Ayah kata, ayah hafal. Lagi la che kak tak boleh nak hadam.

Che kak membesar dengan pengajaran yang melekat selekat-lekatnya dalam ingatan, jangan sesekali ambil duit tanpa izin dan jangan sesekali ambil duit orang lain.

Walaupun che kak sedar, tak mungkin ibubapa kita akan ingat dan hafal nombor siri duit kertas, tapi che kak faham cerita yang tersirat.

Seandainya ada anak-anak kecil yang 'ambil' duit tanpa izin, jangan terus dihukum dengan kekerasan. Mereka tidak tahu perbuatan mereka adalah salah.

Seandainya kita terus menghukum tanpa anak-anak sedar   perbuatan itu adalah salah, maka mereka akan membesar dengan potensi  menjadi pencuri. Mencuri bukan untuk keperluan tapi untuk isi "poket tamak".



HASLIZA SAYANG © . Designed by MaisarahSidi.com