Banjir Kuala Krai 24.12.2014 - coretan Kak Za - HASLIZA SAYANG HASLIZA SAYANG: Banjir Kuala Krai 24.12.2014 - coretan Kak Za

Saturday, December 27, 2014

Banjir Kuala Krai 24.12.2014 - coretan Kak Za



24.12.2014....  Tarikh yang benar-benar menjatuhkan air mata Kak Za sebagai seorang ibu.  Banjir yang melanda Kuala Krai, benar-benar tak akan dilupakan walaupun Kak Za tak hadapinya secara langsung.  Dalam kesibukan Kak Za menguruskan mangsa banjir di Pasir Puteh yang pelbagai karenah, request macam hotel, fitnah, warga politik yang menangguk air yang keruh dan sebagainya, Kak Za terlupa 3 orang anak Kak Za berada di Kuala Krai sedang menghadapi saat-saat getir. 

Seawal pagi, Kak Za menerima sms daripada mertua yang mengatakan air sedang naik. Kak Za tahu, Kuala Krai sedang dilanda banjir yang amat dahsyat terutama di Manik Urai. Tempat pusat pemindahan juga hampir ditenggelami air banjir. Kak Za cadangkan mertua pindah awal sebab takut sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.  Tapi apalah sangat kederat ibubapa mertua. 

Selain anak-anak Kak Za dan mertua, adik ipar, biras dan anaknya yang berusia setahun lebih serta anak saudara yang berusia 6 tahun pulang bercuti.  

Kak Za call rakan-rakan JKM Kuala Krai. Mereka juga terputus hubungan dan sukar untuk menghantar bekalan. Air naik mendadak. Kak Za risau ke mana mereka akan berlindung? Rakan JKM mencadangkan tumpang di AADK. Rupa-rupanya pintu AADK tutup. Kak Za call bilik gerakan Kuala Krai untuk mendapatkan sebarang maklumat penempatan pusat pemindahan yang terdekat.  Paling dekat Dewan Sri Guchil dan Pejabat Tanah Jajahan. Akhirnya Kak Za tak dapat call mertua. Rakan-rakan JKM dan bilik gerakan juga gagal dihubungi. 

Suami Kak Za yang berada di pejabat, rasa tak senang duduk. Suami Kak Za pergi ke Kuala Krai dengan menaiki pajero. Lepas tu suami naik perahu tambang. RM20.00 seorang katanya. Ahli keluarga Kak Za berlindung di Masjid Guchil.  Tengah usaha dan berkira-kira nak bawa keluar anak-anak, hujan lebat pula. Air semakin naik. Hari semakin gelap. Akhirnya suami turut menjadi mangsa banjir di situ. Tapi hati Kak Za lega sikit sebab anak-anak dah berada dengan abinya.  Kesian kat anak saudara, abang Haziq. Mak dan walidnya berada di Kuala Lumpur.  Tentulah anak kecil nak bersama ibubapanya. 

Kak Za cuba hubungi bilik gerakan dan rakan JKM untuk meminta bantuan. Tapi sukar juga nak hantar bekalan sebab air sangat deras dan malam pulak tu. Keesokkanya, sukar juga anak-anak untuk di bawa keluar sebab air naik mendadak. Syukur Masjid Guchil tu tempat yang tinggi. Kak Za dapat makluman, antara tempat yang tinggi ialah bangunan wisma, hospital, SK Banggol Guchil dan Masjid Guchil.

Ada yang pindah ke bukit. Bot-bot penyelamat sukar untuk masuk.  Bantuan melalui helikopter juga gagal. Pelbagai maklumat yang Kak Za terima. Antara yang menyayat hati ialah pusat pemindahan di sekolah Manek Urai juga hampir ditenggelami air. Dah mencecah ke lantai tingkat 4. Bayangkan betapa dalamnya air banjir.

Kak Za dah usaha cuba hubungi pelbagai agensi penyelamat. Tapi gagal dihubungi. Kak Za call IPD Machang. Alhamdulillah. Dapat juga bercakap. Katanya pihak IPD juga gagal hubungi pasukan penyelamat walaupun melalui walkie talkie. Tapi pihaknya sedang berusaha untuk memberi sebarang bantuan kepada mangsa. 

Kadang kala apabila Kak Za buntu, boss Kak Za dan rakan-rakan banyak membantu. Terima kasih tak terhingga rasanya. Kak Za call 999. Katanya, bot penyelamat bomba dah menuju ke kawasan Guchil. Terasa ada harapan. Suami dan ahli keluarga yang lain terpaksa save bateri. Sehinggalah lewat malam, suami Kak Za kata belum dapat bantuan makanan. Ya Allah. Menangis Kak Za. Pantang bersendirian, mesti air mata ni mengalir laju.  Mudah-mudahan ada rezeki untuk mereka.

Kak Za call 999 lagi. Sebab talian telefon bilik gerakan dan rakan-rakan JKM Kuala Krai dah tak boleh dihubungi lagi. Dah beberapa hari tiada bekalan elektrik. Tentulah bateri handset dah selamat ‘bye-bye’.  Usahkan mangsa, petugas banjir dan pasukan penyelamat juga tak dapat makan.  Stok bekalan di JKM juga habis. Kak Za call bilik gerakan Negeri Kelantan untuk maklum bahawa mangsa di Masjid Guchil belum dapat bekalan makanan. Katanya bekalan makanan dah dihantar ke Sekolah Banggol Guchil. 

Sebelum bateri handset dan power bank benar-benar habis, suami Kak Za kata dia tak tahu apa nasib yang akan berlaku esok. Suami sempat meeminta maaf dan mohon halal makan minum dan sebagainya. Berderai air mata. Kenapalah suami cakap macam tu. 

Adik beradik ipar dan biras tak putus-putus memberi maklumat dan bertanya khabar melalui whatsApp grup keluarga.  Manalah tak risau dan sedih. Umi yang sakit, papa yang dah berstatus warga emas, Ashfaq yang masih menyusu badan, Haziq yang masih kecil dan minum susu. Anak-anak Kak Za yang masih bersekolah rendah. 

Kak Za bersyukur kerana Jajahan Pasir Puteh banjirmya terkawal. Mangsa banjir dapat lagi makan ayam, daging, ikan, sayur dan sebagainya. Sedih rasanya jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah terjejas teruk. Lumpuh seluruh jajahan tersebut. Kesian rakan-rakan JKM, pasukan penyelamat dan sukarelawan.  Walaupun mereka mangsa banjir juga, namun demi tugas, mereka tetap bertugas sedaya upaya. Kak Za tak mampu nak cerita segala kesengsaraan mangsa banjir kali ini. Hari ini banjir melanda kawasan Kota Bharu dan Tumpat. Petugas JKM Pasir Puteh dan sukarelawan bertungkus lumus membantu menghantar bekalan makanan ke Kota Bharu dan Machang.

Abang Aiman, Ahyad, Aulia', Haziq, Ashfaq. Kalian insan terpilih untuk menjalani ujian Allah ni. Tabahkan hatimu wahai anakku. Sampai hari ini umi belum dapat peluk cium kalian.  Bukan tak biasa kena tinggal dan ditinggalkan. Tapi kali ini luar biasa. Walaupun berjauhan, selalunya wasap dan selfie menjadi pengubat rindu. Tapi kali ini luar biasa tak dapat dengar suara insan-insan tersayang. Walaupun berlagak tabah, tapi hakikatnya Allah saja yang tahu hati ini.. 


Tabahkan hatimu wahai anak2ku dan insan tersayang..

Moga pagi esok 27.12.2014 ada sinar harapan.  

#banjirkelantan2014
HASLIZA SAYANG © . Designed by MaisarahSidi.com