APA ITU BAHAGIA? - HASLIZA SAYANG HASLIZA SAYANG: APA ITU BAHAGIA?

Monday, March 11, 2019

APA ITU BAHAGIA?


"Nora, awok tok pernah triok ko"?
Nora (bukan nama sebenar) ialah klien che kak. Che kak tahu dugaan hidupnya sangat perit. Tapi setiap kali jumpa atau terserempak, hanya senyuman sahaja yang che kak nampak.

Seolah--olah tiada masalah walhal sebagai ibu tunggal yang menyara 7 orang anak secara sendiri tanpa sumber pendapatan tetap. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Si anak yang berusia 12 tahun, setia mengikut Nora ke mana sahaja. Walhal kanak-kanak seusianya lebih suka bermain dengan kawan-kawan. Tiada gajet. Dari pagi ke petang tak makan sebab kehabisan beras di rumah adalah perkara biasa yang dilaluinya.

Che kak tak berhajat nak cerita apa yang JKM dah bantu. Kami telah bantu urus kes Nora mengikut SOP kami. Apa yang che kak nak cerita ialah tentang bahagia.

Bahagia? Semua individu mahu kehidupan bahagia termasuk Nora dan anak-anaknya. Pada pandangan mata kita, Nora tak bahagia. Berkahwin cerai dan bekas suami tidak pernah bagi nafkah kepada anak-anak. Sumber rezekinya bergantung pada tulang empat kerat.

Che kak nampak kebahagiaannya terletak pada kasih sayang anak-anaknya.

Dia bahagia kerana kelahiran anak--anaknya tiada sebarang masalah kesihatan dan dipermudahkan. Dia bahagia walaupun tiada duit tapi anak-anak tetap dapat makan dan tiada yang kebuluran.

Dia bahagia walaupun anak-anak masih kecil, tetapi dapat berdikari dan urus diri. Anak-anaknya sihat tanpa sebarang penyakit. Nora ada seorang anak OKU tapi mampu urus diri mcam orang normal.

Dia bahagia kerana tuan rumah sewanya amat baik dan tidak pernah mendesak agar bayar sewa. Ada duit, dia bayar dan dia tetap usaha agar dapat bayar sewa tanpa culas.

Dia bahagia keluar mencari rezeki dengan motor buruknya tetapi masih berjasa kepadanya.
Dia bahagia apabila terserempak dengan che kak dan tegur tanpa rasa segan.

Namun, apa sebenarnya maksud bahagia? Kata orang bahagia itu relatif, bergantung kepada tafsiran masing-masing.

Antara intipati untuk mendapatkan kebahagiaan ialah adanya Qanaah. Qanaah ini bermaksud menerima dengan rasa cukup. Dalam cerita Nora, dia menerima apa sahaja dengan rasa cukup.

Nora juga redha. Redha ialah menerima sesuatu dengan seikhlas hati. Dia redha dengan ujian kemiskinan.

Namun begitu, Nora tetap berusaha mencari rezeki dan menerimanya dengan tanpa merungut. Sekarang ni che kak dalam proses membantu supaya dia dapat berniaga mi celup kat kampungnya. Katanya dia pandai masak mi celup dan amat berminat dengan bisnes.

No comments:

Post a Comment

HASLIZA SAYANG © . Designed by MaisarahSidi.com