PAHALA TERAKHIR SEORANG ISTERI - HASLIZA SAYANG HASLIZA SAYANG: PAHALA TERAKHIR SEORANG ISTERI

Tuesday, August 27, 2019

PAHALA TERAKHIR SEORANG ISTERI



“Gano kalu tibo-tibo, ado ore call awok royak suami awok doh meninggal?”

Suami adalah pinjaman dari Allah untuk isteri. Jambatan buat isteri untuk kumpul pahala. Mudahnya seorang isteri masuk syurga atas asbab solehah dan mudahnya wanita masuk neraka atas asbab derhaka.

Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita (isteri) solehah.”
(HR. Muslim)

Che kak teringat kisah klien che kak. Peristiwa hampir 13 tahun yang lalu. Suami keluar dari rumah bersama bungkusan beberapa helai pakaian dan anak sulungnya selepas bergaduh besar dengan isteri. Entah apa yang dirajuknya. Kecil hati benar nampaknya.

Suami meninggal dalam kemalangan jalan raya. Perginya dalam keadaan hati yang duka lara. Tidak sempat minta maaf antara satu sama lain. Sesal separuh nyawa sekalipun tidak mampu untuk memujuk hati sendiri.

Pentingnya suami isteri tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing.  Setiap pasangan ada kekurangan dan keistimewaan tersendiri. Tiada satu pun manusia yang sempurna melainkan Nabi Allah yang maksum. Terima segala kekurangan pasangan dengan redha.

Bergaduh, bertengkar, bertikam lidah dan apa sahaja sengketa adalah lumrah alam rumahtangga. Asam garam pahit manis masam masin alam rumahtangga.

Berbincanglah dengan baik. Selesaikan masalah bersama-sama. Sentiasalah berkomunikasi. Apabila sentiasa berkomunikasi dan berdiplomasi, pasangan akan tahu apa yang kita suka dan tidak suka.

Amalkan budaya hormat menghormati pasangan masing-masing. Sentiasa bantu antara satu sama lain.  Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tiada istilah suami takut isteri, dan isteri takut suami.

Apakah tanggungjawab sebenar seorang isteri?

Seperti dalam hadith Nabi saw yang bermaksud, “Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan menjaga kehormatan diri, serta taat kepada suaminya, maka dipersilakanlah masuk ke syurga dari pintu mana sahaja yang disukai.”

(HR. Ahmad dan Thabrani)
Taat yang bagaimana? Taatlah pada suami selagi mana tidak bercanggah dengan Islam. Contohnya  suami paksa isteri melacur. Maka tak wajib ikut perintah suami. Suami paksa buka aurat untuk tontonan umum, maka tidak wajib ikut arahan suami.

Sehebat mana pun seorang isteri dalam kerjaya, ajarlah diri sendiri supaya meminta izin suami terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Jagalah aib suami. Sekiranya kita sendiri yang membuka aib suami, bukan semua orang akan bersimpati. Sekiranya kita perlukan seseorang untuk luahkan, carilah individu yang boleh dipercayai.  


No comments:

Post a Comment

HASLIZA SAYANG © . Designed by MaisarahSidi.com